• Laman Utama
  • Tentang Chiba
  • Tempat Menarik di Chiba
  • Maklumat Kawasan
  • Rancangan Perjalanan
  • Pengangkutan
  • Tip Pelancongan

Laman Utama > Topik > Bunga-bunga kembang mekar sepanjang tahun

Artikel utama bermula di sini.

Updated:July 31, 2015

Bunga-bunga kembang mekar sepanjang tahun

Bunga-bunga kembang mekar dengan indah dari musim ke musim

Chiba bertuah kerana dikurniakan dengan iklim sederhana panas kerana lokasinya yang menghadap Lautan Pasifik. Iklim sederhana panas ini membolehkan pelbagai jenis bunga kembang mekar sepanjang tahun. Hati pasti terubat apabila melihat bunga berwarna-warni ini berubah rupa mengikut musim!

Alami musim bunga lebih awal! Bunga yang mekar pada awal musim bunga (Januari - Mac)

Bunga-bunga di Chiba amat mempesonakan pada musim ini. Kyonan-machi, iaitu salah sebuah tempat yang tergolong dalam tiga tempat Suisen (Narcissus) terbesar di Jepun dan terkenal dengan "Jalan Suisen" yang dipenuhi dengan kira-kira 5 juta kuntum bunga suisen yang cantik mula kembang serentak dari bulan Disember dan memenuhi kawasan sekelilingnya dengan bau yang harum semerbak. Pengunjung ke kawasan Minami-boso akan merasai kehangatan musim bunga walaupun pada musim sejuk. Di sini, pengunjung dapat menikmati sepenuhnya bunga daerah Chiba, seperti bunga sesawi (rape blossom), bunga popi, stock, kalendula, statice (sea-lavender), dan snapdragon. Contohnya, Mother Farm mempunyai kebun bunga sesawi yang terbesar di kawasan metropolitan Tokyo. Bermula bulan Mac hingga bulan Mei, bunga sakura dan tulip kembang mekar di seluruh Chiba. Pesta yang meraikan bunga ini juga turut diadakan, seperti Pesta Tulip di Dataran Furusato (Furusato Square) di bandar Sakura, yang berjaya memikat ramai pengunjung setiap tahun.

Dari merah jambu hingga ke merah tua... bunga-bungaan ceria yang mekar pada musim bunga (akhir Mac - Mei)

Pengunjung dapat menikmati pelbagai jenis bunga di Kampung Jerman Tokyo. Antara tarikan yang terkenal di sini ialah shibazakura atau floks subulata yang mekar pada akhir bulan Mac hingga pertengahan bulan April. Pada masa ini, tempat ini seolah-olah dihampari permaidani merah jambu.

Di samping itu, bunga mawar di taman bunga mawar di sana-sini mula mekar pada bulan Mei dan pasti menceriakan hati sesiapa sahaja yang berkunjung. Ada banyak taman pertanian di pekan dan bandar yang mudah untuk dikunjungi, seperti Taman Bunga Mawar Keisei di Yachiyo, yang merupakan salah sebuah taman bunga mawar yang terulung di Jepun, Taman Bunga Mawar Bandar Sakura di Kusabue-no-Oka, Sakura, dan Taman Bunga Mawar Yatsu di Narashino.


Menyejukkan hati dengan bunga-bungaan anggun yang mekar pada musim panas (Jun - Ogos)

Musim hujan di Jepun dihiasi dengan warna bunga tiga bulan. Keindahan bunga ini dapat dinikmati sepenuhnya di Hondoji, iaitu sebuah kuil di Matsudo yang terkenal sebagai "Kuil Bunga Tiga Bulan", Taman Bunga Tiga Bulan di pekan Tako dan Kampung Jerman Tokyo. Pengunjung juga boleh berkunjung ke Tanah Tinggi Mamenbara (Mamenbara Highland) yang terkenal dengan suasana dinginnya dan pemandangan bunga tiga bulan yang indah. Di tanah tinggi ini, bunga tiga bulan mekar agak lewat daripada bunga di tanah rata, iaitu dari awal hingga akhir bulan Julai. Pada masa yang sama, bunga iris juga mula mekar. Antara taman bunga iris yang masyhur di Chiba ialah Taman Flora Akuatik Suigo-Sawara di Katori yang terkenal dengan bilangan spesies yang paling banyak di rantau Asia. Tempat menarik yang lain termasuk Taman Sakura-Joshi di Sakura dan Taman Sodegaura di bandar Sodegaura. Pada pertengahan musim panas ketika matahari memancar terik, pengunjung boleh menghilangkan penat di Narita Dream Farm (Ladang Impian Narita). Di ladang ini, pengunjung dapat menguji kepintaran di dalam pagar sesat yang dibina dengan pokok bunga matahari. Selain daripada itu, pengunjung ke Mother Farm dapat melihat bunga momoiro toiki (pink breath), iaitu sejenis variasi petunia, yang mekar dari bulan Jun hingga Oktober dan meliputi banjaran gunung Minami-boso dengan warna merah jambu.

Bunga-bungaan yang kelihatan menarik dalam suasana dingin pada musim luruh (September - Disember)

Apabila keterikan cahaya matahari mula pudar dan musim luruh tiba membawa daun musim luruh, bunga kosmos (cosmos) yang indah berwarna merah jambu, putih, merah mula muncul. Tempat yang terkenal dengan bunga kosmosnya termasuk Dataran Furusato (Furusato Square) di bandar Sakura, Taman Pertanian Akebonoyama di Kashiwa, dan kawasan Yodaura di Katori. Sementara itu, pengunjung ke Mother Farm di Futtsu juga dapat menikmati suasana bunga salvia (salvia splendens) berwarna merah kembang penuh selain bunga kosmos.