• Laman Utama
  • Tentang Chiba
  • Tempat Menarik di Chiba
  • Maklumat Kawasan
  • Rancangan Perjalanan
  • Pengangkutan
  • Tip Pelancongan

Laman Utama > Topik > Memetik strawberi

Artikel utama bermula di sini.

Updated:October 30, 2015

Memetik strawberi

Sangat popular dalam kalangan pelancong ke Jepun!Mari kita rasa kemanisan strawberi segar yang baru dipetik

Memetik buah strawberi adalah satu daripada aktiviti paling menarik di Chiba. Buah strawberi yang baru dipetik di dalam rumah tanaman itu banyak jusnya dan manis tidak terkira. Apa kata kita nikmati makanan bermusim di Chiba yang menyambut kedatangan musim bunga lebih awal daripada tempat lain ini? Kali ini kami akan memperkenalkan empat kawasan yang popular dengan kegiatan memetik buah strawberi di daerah ini.

Deretan kebun strawberi di Jalan Strawberi "Sammu Naruto"

Kawasan Sammu Naruto yang terletak di tengah-tengah bandar Kujukuri memang terkenal sejak dahulu lagi sebagai kawasan yang aktif menanam strawberi. "Jalan Strawberi" merujuk kepada kawasan di sepanjang lebuh raya nombor 126 dan jalan negeri nombor 76 yang bersimpangan dengannya. Di sini terdapat 20 buah kebun strawberi yang bersatu membentuk Gabungan Amanah Strawberi Sammu Naruto, serta deretan rumah tanaman dan kedai jualan terus strawberi yang menjadikan tempat ini sebagai kawasan memetik buah strawberi terbesar di kawasan Kanto. Jenis strawberi yang ditaman di sini berbeza dari satu kebun dengan kebun yang lain. Ini membolehkan pengunjung mencuba pelbagai rasa buah strawberi yang menjadi salah satu daya tarikannya.

Laman web Gabungan Amanah Strawberi Sammu Naruto( External link )

"Tateyama", tempat yang mesti dikunjungi untuk memetik strawberi dan bunga!

Bandar raya Tateyama yang terletak di bahagian selatan daerah Chiba bertuah kerana menikmati cuaca yang sederhana panas sepanjang tahun. Suasana di bandar ini menjadikan pengunjung berasa seolah-olah mereka berada di tempat peranginan kerana di samping stesen kereta api JR Tateyama, rumah-rumah gaya Mediteranean yang berwarna oren dan putih juga dapat dilihat di sana-sini. Biasanya pengunjung mendaftar masuk di Pusat Memetik Strawberi Tateyama di Yamamoto atau Pusat Memetik Strawberi dan Pelancongan Tateyama di Ohto dan Aburi, kemudian dibawa melawat kebun strawberi yang terdapat di bandar ini. Di samping itu, pengunjung juga dapat merasai pengalaman memetik bunga pada musim ini, seperti bunga popi, stock dan sesawi.

Bandar Raya Chiba, pelbagai usaha baharu yang belum pernah dilihat sebelum ini!

Di samping mudah dikunjungi, apa yang menarik tentang memetik strawberi di bandar raya Chiba ini ialah pelbagai usaha baharu yang belum pernah dilihat sebelum ini. Usaha ini termasuk kebun yang menjalankan kegiatan memetik strawberi pada waktu malam! Terdapat banyak kebun yang pengunjung boleh singgah sambil melawat Tokyo. Oleh itu jemputlah ke bandar raya Chiba dan cubalah strawberinya!

"Tonosho", pekan yang tersohor kerana "Beri Cinta" yang besar

Pekan Tonosho yang terletak di bahagian utara daerah Chiba terkenal kerana "Beri Cinta" yang juga dikenali sebagai "Raja Strawberi". Beri Cinta yang boleh dipetik di kesemua tujuh kebun strawberi terbuka di pekan ini sangat jarang dijumpai kerana saiznya yang besar, iaitu dua kali ganda besarnya daripada strawberi biasa! Beri Cinta ini sangat digemari kerana keseimbangan rasa manis dan masamnya yang amat halus serta sangat banyak jusnya. Di samping itu, terdapat juga deretan khemah berwarna oren yang menjual strawberi di sepanjang lebuh raya nombor 356 yang biasa dikenali sebagai "Lebuh Raya Strawberi". Oleh itu, para pengunjung dapat membeli strawberi segar serta enak pada bila-bila masa.